4 -5 OKTOBER 2024 – Kemahiran komunikasi yang unggul dan keupayaan membina hubungan yang kukuh mempengaruhi kepimpinan yang berkesan di dalam sesebuah organisasi. Pusat Transformasi Insan (PTi), Jabatan Pendaftar telah menganjurkan Program Leadership : Communication & Connection bertempat di Hotel Eastin, Pulau Pinang.
Program yang diadakan selama 2 hari ini dihadiri oleh 31 pegawai Pengurusan & Profesional (Pentadbiran) meliputi keseluruhan kampus dan telah disampaikan oleh Datuk Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor yang merupakan Konsultan Utama DTE Consult Sdn. Bhd. (DTeC).
Antara objektif utama program adalah untuk memantapkan kompetensi interpersonal, membina komunikasi efektif melalui teknik EQ & NLP serta mempelajari kemahiran maklum balas yang konstruktif bagi tadbir urus dan kepimpinan yang berwibawa dan unggul.
Melalui program ini, peserta telah mempelajari teknik-teknik komunikasi yang jelas dan empatik, strategi mendengar secara aktif, serta pendekatan membina hubungan yang memberi impak positif kepada budaya kerja. Selain aktiviti secara berkumpulan, program ini juga melibatkan penyertaan peserta di dalam role play bagi memudahkan kefahaman peserta di dalam mendepani cabaran kelakuan dan menangani situasi yang sukar dan mencabar di tempat kerja.