Skip to main content
USM Lakar Kecemerlangan Di Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) Universiti Awam 2026
KIK USM 2026

USM Lakar Kecemerlangan Di Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) Universiti Awam 2026

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur 6 Kumpulan KIK USM
Kontinjen USM di Konvensyen Horizon Baharu KIK 2026
Kontinjen USM menyertai Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-18 Tahun 2026 di UPNM.

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh budaya inovasi dan kreativiti apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam Tahun 2026 yang berlangsung pada 4 hingga 6 Ogos 2026 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur.

Konvensyen yang menghimpunkan sebanyak 53 kumpulan KIK daripada universiti awam seluruh negara ini menjadi platform penting bagi mengetengahkan idea inovatif, perkongsian amalan terbaik serta penyelesaian kreatif dalam meningkatkan kecekapan pengurusan dan kualiti penyampaian perkhidmatan universiti. USM telah menghantar enam (6) kumpulan KIK sebagai wakil Universiti, melibatkan dua kumpulan dari Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), dua kumpulan dari Kampus Induk serta masing-masing satu kumpulan dari Kampus Kesihatan dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB).

Kontinjen enam kumpulan KIK USM
Enam kumpulan KIK mewakili pelbagai kampus dan pusat tanggungjawab USM dalam konvensyen peringkat Universiti Awam.

Penyertaan ini merupakan hasil komitmen berterusan USM dalam memperkasa pembudayaan inovasi melalui pelaksanaan projek penambahbaikan yang berfokus kepada penyelesaian masalah, pengoptimuman sumber dan peningkatan keberkesanan proses kerja.

Kejayaan yang diraih turut mencerminkan keupayaan warga USM menghasilkan inovasi yang praktikal, berimpak dan berpotensi untuk diperluas penggunaannya. Di sebalik pencapaian tersebut, Pusat Transformasi Insan (PTI), Jabatan Pendaftar memainkan peranan dalam menyelaras pembangunan dan pemantapan kumpulan KIK melalui pelaksanaan Mini Konvensyen KIK Horizon Baharu USM 2026 serta siri program intensif dan bengkel pemantapan projek sebagai persediaan menghadapi pertandingan di peringkat universiti awam.

Pembentangan projek KIK USM di konvensyen
Persediaan projek, dokumentasi dan pembentangan menjadi antara aspek penting dalam pemantapan penyertaan kumpulan KIK USM.

Pencapaian ini turut membuktikan bahawa budaya inovasi bukan sekadar aktiviti pertandingan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada transformasi perkhidmatan, peningkatan produktiviti dan kecemerlangan organisasi. Kejayaan tersebut juga tidak terpisah daripada komitmen ahli kumpulan, bimbingan fasilitator serta sokongan berterusan pihak pengurusan Universiti, khususnya YBrs. Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff, Pendaftar USM.

Syabas dan tahniah kepada semua kumpulan KIK yang telah mengharumkan nama USM di persada universiti awam. Kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus membudayakan kreativiti, memperkasa inovasi dan memacu kecemerlangan Universiti.

USM PERKASA BUDAYA INOVASI MELALUI PENGIKTIRAFAN KUMPULAN KIK
Fokus Utama

Memperkasa budaya inovasi USM melalui penyelarasan, bimbingan dan pemantapan kumpulan KIK, sekali gus menggalakkan penghasilan idea, penyelesaian kreatif dan penambahbaikan berterusan yang memberi nilai kepada universiti.