Pusat Transformasi Insan (PTI), USM Kampus Kesihatan telah menganjurkan program Bahasa dan Imej Korporat: Cerminan Profesionalisme Organisasi yang disampaikan oleh Pn. Rozilah Hamzah, Ketua Jurutera Kanan, Jabatan Pembangunan & Pengurusan Fasiliti, USM Kampus Kesihatan.
Berbekalkan pengalaman luas dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pemegang taruh serta menguruskan projek-projek pembangunan di USM, beliau berkongsi panduan dan pengalaman praktikal mengenai kepentingan profesionalisme dalam membentuk reputasi serta imej sesebuah organisasi.
Beliau memberi kefahaman kepada peserta bahawa profesionalisme bukan sekadar kelayakan akademik, tetapi merangkumi etika, akauntabiliti, kecekapan dan sikap saling menghormati dalam menjalankan amanah universiti. Elemen lain yang turut ditekankan dalam profesionalisme ialah bahasa, integriti dan imej.
Peserta juga didedahkan kepada penggunaan bahasa korporat yang formal, jelas dan berkesan sebagai identiti profesional dalam berkomunikasi. Bahasa merupakan medium yang mampu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pemegang taruh terhadap pegawai yang berkhidmat, sekali gus mewujudkan reputasi yang baik terhadap imej organisasi.
Bahasa bukan sekadar cara bercakap atau menulis, tetapi turut menjadi cerminan profesionalisme, integriti dan kredibiliti organisasi.
Penceramah turut memberi penerangan berkaitan imej korporat yang memberi impak kepada organisasi kerana ia merupakan persepsi keseluruhan yang dibentuk oleh orang awam, pelanggan dan pemangku kepentingan terhadap sesebuah organisasi.
Keterampilan yang kemas, sikap yang sopan santun dan etika bahasa badan yang betul memberikan imej yang baik kepada pihak yang berurusan dengan kita. Kesimpulannya, setiap warga kerja merupakan duta kepada organisasi, dan amalan berterusan terhadap panduan yang dikongsikan dapat membantu mengekalkan kecemerlangan organisasi.
Memperkukuh bahasa, integriti, keterampilan dan imej profesional bagi membina keyakinan pemegang taruh, meningkatkan kredibiliti serta memelihara reputasi organisasi.