Program “Mengurus Kewangan Bijak: Dompet Sihat, Hidup Bahagia” memberi penekanan kepada kepentingan pengurusan kewangan peribadi secara bijak, terancang dan berhemah sebagai salah satu aspek penting dalam mencapai kesejahteraan hidup.
Pengisian program merangkumi perancangan kewangan, penyediaan bajet, pengurusan perbelanjaan, kawalan hutang dan komitmen kewangan, kepentingan simpanan serta pembentukan tabiat kewangan yang sihat. Peserta turut didedahkan kepada pendekatan praktikal dalam membuat keputusan kewangan yang lebih bertanggungjawab bagi menghadapi keperluan semasa dan merancang masa hadapan.
Pusat Transformasi Insan (PTI), Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan telah menganjurkan program ini pada 12 Julai 2026 (Ahad) bertempat di Dewan Persidangan Kampus, Kompleks Pentadbiran, Kampus Kesihatan USM, dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi.
Sesi perkongsian disampaikan oleh Encik Mohammad Noor Faiz bin Mohd Zin, Penasihat Kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), yang berkongsi ilmu, pengalaman serta panduan berkaitan pengurusan kewangan secara efektif.
Program ini turut mendapat penajaan bersama HRD Corp melalui kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia sempena Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week – NTW) 2026.
Pelaksanaan program ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesedaran peserta terhadap kepentingan mengurus kewangan secara sistematik serta membantu membentuk amalan kewangan yang lebih sihat dan mampan.
Pengetahuan yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian bagi mengawal perbelanjaan, mengurus komitmen, meningkatkan simpanan dan membuat perancangan kewangan yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada kestabilan kewangan serta ketenangan hidup.
Membina amalan kewangan yang lebih bijak, sihat dan mampan. Program ini diperuntukkan 2 Mata CPD, dan peserta boleh melengkapkan e-Survey melalui saluran yang ditetapkan bagi melayakkan pengiktirafan mata CPD tersebut.