Pusat Transformasi Insan (PTI), Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan telah menganjurkan program Kepimpinan Dinamik: Menyemai Potensi, Menyemarakkan Inspirasi pada 16 Jun 2026 di Dewan Peperiksaan, Kampus Kesihatan sebagai sebahagian daripada inisiatif Kompetensi Teras (Memimpin Perubahan).
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah disampaikan oleh Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail, Pengarah Kampus Kesihatan USM, yang berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan amalan kepimpinan dinamik dalam menghadapi cabaran organisasi yang sentiasa berkembang.
Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada kepentingan membina kepimpinan yang berteraskan visi, integriti dan keupayaan mempengaruhi secara positif dalam membentuk budaya kerja berprestasi tinggi.
Penceramah turut menghuraikan bagaimana seorang pemimpin mampu mengenal pasti potensi individu, memperkasa kekuatan pasukan serta menginspirasikan warga organisasi untuk bergerak seiring dalam mencapai matlamat strategik universiti.
Perkongsian yang disampaikan melalui contoh situasi sebenar dan pengalaman kepimpinan memberikan perspektif yang lebih jelas tentang peranan pemimpin sebagai agen perubahan yang mampu mencetuskan impak positif kepada organisasi.
Program ini turut membuka ruang kepada sesi interaksi dua hala yang membolehkan peserta berkongsi pandangan, mengemukakan persoalan serta mendapatkan penjelasan berkaitan cabaran kepimpinan dalam persekitaran kerja masa kini.
Perbincangan yang berlangsung secara aktif telah mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan perkongsian idea dalam memperkukuhkan kompetensi kepimpinan di semua peringkat.
Membina kepimpinan yang berteraskan visi, integriti, pemerkasaan potensi dan keupayaan menginspirasikan perubahan positif demi kecemerlangan organisasi.