TRANSFORMASI DIRI: DARI BIASA KE LUAR BIASA PERKASA SEMANGAT AZAM BAHARU 2026 SM
27 Januari 2026 - Bersempena pembukaan tirai tahun baharu 2026, Pusat Transformasi Insan (PTi), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program Transformasi Diri: Dari Biasa Ke Luar Biasa secara atas talian melalui platform Webex Live dengan penyertaan seramai 1,000 peserta dalam kalangan warga Universiti.
Program ini diadakan sebagai suntikan motivasi dan inspirasi kepada warga USM dalam memulakan tahun baharu dengan semangat, azam dan iltizam yang lebih positif ke arah peningkatan prestasi serta kecemerlangan diri dan organisasi. Sesi perkongsian telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Faridah Hanim Haron, pakar dalam bidang pembangunan organisasi, pengurusan perubahan dan pembangunan kepimpinan. Beliau menekankan kepentingan mengenal pasti potensi diri, membina keyakinan, memperkukuh daya tahan mental serta berani keluar daripada zon selesa bagi menghadapi cabaran dan perubahan dalam dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

Selain menyuntik semangat motivasi baharu, program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan minda kreatif dan sikap proaktif dalam melaksanakan tugasan seharian agar warga Universiti sentiasa bersedia untuk bergerak seiring dengan aspirasi kecemerlangan institusi. Penganjuran program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada warga USM untuk memulakan tahun 2026 dengan lebih bersemangat, berfokus dan bersedia melakukan transformasi diri ke arah menjadi individu yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

Melalui program ini, para peserta turut didorong untuk melakukan perubahan dari aspek pemikiran, sikap dan tindakan supaya lebih bersedia menghadapi cabaran serta mengekalkan momentum kecemerlangan dalam persekitaran kerja yang dinamik.