Skip to main content

LEMBARAN BARU 2026: RESET MINDA, REFLEKSI DIRI CETUS SEMANGAT BAHARU WARGA USM

Main

13 Januari 2026 - Bersempena permulaan tahun baharu 2026, Pusat Transformasi Insan (PTi), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program Lembaran Baru 2026: Reset Minda, Refleksi Diri secara atas talian menerusi platform Webex Live dengan penyertaan memberangsangkan dalam kalangan warga Universiti.

Program ini bertujuan membantu peserta menyusun semula hala tuju, matlamat peribadi serta aspirasi kerjaya agar selari dengan kecemerlangan organisasi dan cabaran semasa. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk menyuntik semangat dan motivasi baharu bagi memulakan tahun 2026 dengan lebih fokus, positif dan berdaya saing.

Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Tuan Haji Roslan Mohamad, pakar motivasi yang berkongsi panduan berkaitan kepentingan refleksi diri, pembentukan minda positif serta budaya kerja cemerlang dalam usaha meningkatkan potensi dan prestasi diri secara berterusan. Melalui program ini, para peserta turut didorong untuk melakukan perubahan dari aspek pemikiran, sikap dan tindakan supaya lebih bersedia menghadapi cabaran serta mengekalkan momentum kecemerlangan dalam persekitaran kerja yang dinamik.

Penganjuran program ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada transformasi diri warga USM dalam membina azam dan semangat baharu demi mencapai kecemerlangan diri serta organisasi sepanjang tahun 2026.