KESEJAHTERAAN KESIHATAN MELALUI AMALAN ERGONOMIK
12 Februari 2026 - Program “Kesejahteraan Kesihatan Melalui Amalan Ergonomik” telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan warga Universiti Sains Malaysia (USM) daripada pelbagai kumpulan perjawatan. Program ini telah disampaikan oleh Dr. Nurul Izzah Abdul Samad, Pengerusi Program Kesihatan, Persekitaran Dan Pekerjaan dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan yang berkongsi kepakaran berkaitan kepentingan ergonomik dalam persekitaran kerja harian.
Amalan ergonomik merujuk kepada penyesuaian cara kerja, peralatan dan persekitaran supaya selaras dengan keupayaan fizikal dan mental manusia, bagi mengurangkan risiko kecederaan serta meningkatkan kecekapan dan kesejahteraan ketika bekerja.

Program ini memberi penekanan kepada amalan postur kerja yang betul, susun atur ruang kerja yang selamat, serta teknik mengurangkan risiko kecederaan muskuloskeletal akibat rutin kerja berulang dan statik.
Kesedaran terhadap ergonomik bukan sekadar aspek keselesaan, malah merupakan elemen strategik dalam meningkatkan produktiviti, mengurangkan keletihan dan meminimumkan risiko kecederaan di tempat kerja. Warga USM digalakkan untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, selamat dan lestari.
