Skip to main content

MINI KIK HORIZON BAHARU 2026 SEMARAK BUDAYA INOVASI WARGA USM

Main

15-16 April 2026 - Jabatan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Peringkat USM 2026 yang disertai oleh 10 kumpulan iaitu 5 kumpulan daripada Kampus Induk dan selebihnya adalah daripada Kampus Kesihatan.

Konvensyen ini menjadi platform strategik universiti dalam memperkukuh budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga staf selaras dengan aspirasi meningkatkan kecekapan proses kerja, pembangunan teknikal dan sistem penyampaian perkhidmatan universiti. Program ini turut bertujuan mengenal pasti kumpulan terbaik bagi mewakili USM ke Konvensyen KIK Universiti Awam (UA) pada Ogos 2026.

Dua (2) kategori utama telah dipertandingkan iaitu Penyampaian Perkhidmatan dan Sosial. Bagi kategori Penyampaian Perkhidmatan, kumpulan Rad Trackers daripada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) telah muncul juara menerusi projek inovasi pendigitalan aliran kerja yang membantu memperkemaskan proses janji temu dan saringan pesakit secara lebih sistematik dan efisien.

Sementara itu, kategori Sosial dimenangi oleh Kumpulan Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan melalui projek Modul Latihan Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) Intelek-VT@USM yang dibangunkan sebagai panduan pelaksanaan program latihan dan pembangunan kemahiran OKU intelek.

Kesemua kumpulan ini telah dinilai oleh tiga (3) juri jemputan khas yang mempunyai pengalaman luas dalam penilaian projek Kumpulan KIK peringkat kebangsaan. Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pendaftar USM, YBrs. Encik Mohd Azizuddin Mohd Shariff bersama Pengarah PTI, Puan Nurul Izzati Rozali. Secara keseluruhannya, penganjuran konvensyen ini berjaya menjadi platform penting dalam mencetuskan idea inovatif serta memperkukuh budaya kerja kreatif dalam kalangan warga USM.


Artikel lain berkaitan program boleh dilihat pada pautan ini