KUASAI SENI KOMUNIKASI: MEMPERKASA KOMPETENSI TERAS WARGA PENTADBIRAN USM

30 JULAI 25 - Selaras dengan agenda pemerkasaan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Universiti APEX, Pusat Transformasi Insan (PTi), Jabatan Pendaftar telah menganjurkan Program Kompetensi Teras (Komunikasi) kepada staf Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) gred 9 hingga 14 merentasi pelbagai skim perkhidmatan.
Program ini dilaksanakan dalam dua siri, dengan pengisian yang dikendalikan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Komunikasi. Siri pertama menampilkan Dr. Nur Atikah A Rahman dan Dr. Rani Ann Balaraman, manakala siri kedua diterajui oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh dan Dr. Kamaruzzaman Abdul Manan.
Fokus utama program ini adalah untuk memantapkan kemahiran komunikasi peserta, khususnya dalam menyampaikan idea dan maklumat secara jelas, ringkas dan tepat, seiring dengan keperluan perancangan, pembangunan dan pelaksanaan tugas harian. Turut ditekankan ialah kepentingan menyampaikan keputusan secara tuntas, profesional dan beretika.