Skip to main content

SYARAHAN PENTADBIR:
BOOSTING BRAIN AND WORK PERFORMANCE THROUGH DIET

Main

28 JULAI 25 - SYARAHAN PENTADBIR SIRI 2/2025 bertajuk “Boosting Brain and Work Performance Through Diet” telah berlangsung secara dalam talian pada 28 Julai 2025 dan disampaikan oleh Puan Siti Azima Awang, Pegawai Dietetik dari Hospital Pakar USM. Syarahan selama dua jam ini memberi tumpuan kepada peranan pemakanan seimbang dalam meningkatkan fungsi otak, seterusnya menyokong prestasi kerja yang lebih cemerlang. Puan Siti Azima menekankan bahawa otak merupakan organ yang menggunakan sekitar 20% daripada kalori tubuh, justeru pengambilan nutrisi yang tepat adalah penting bagi memastikan daya fokus, memori dan keupayaan mental sentiasa berada pada tahap optimum.

Antara objektif utama syarahan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kepentingan nutrien dalam makanan yang menyumbang kepada kesihatan tubuh, minda dan emosi. Peserta juga didedahkan kepada jenis-jenis makanan dan nutrisi yang boleh menyokong fungsi kognitif serta membantu meningkatkan kecekapan dan daya saing di tempat kerja. Di samping itu, syarahan ini turut menyeru peserta untuk mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten agar dapat menyumbang secara lebih produktif dalam tugasan harian.



Secara keseluruhannya, syarahan ini berjaya memberi kesedaran bahawa gaya hidup sihat bermula dengan pemilihan makanan yang bijak. Nutrisi yang baik bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan fizikal, malah memainkan peranan penting dalam kestabilan mental dan emosi seseorang individu. Kesihatan menyeluruh ini menjadi asas kepada prestasi kerja yang konsisten, efektif dan cemerlang, seiring dengan aspirasi perkhidmatan awam yang berdaya saing dan lestari.