Skip to main content

PACU PRODUKTIVITI MELALUI AI & CHATGPT DALAM PENTADBIRAN

Main

15 JUN 25 - Selaras dengan perkembangan pesat teknologi digital, Kursus Pacu Produktiviti Melalui Ai & Chatgpt Dalam Pentadbiran telah diadakan pada 15 Jun 225 di Kampus Kesihatan bagi membekalkan pengetahuan asas kepada Pegawai Tadbir Universiti mengenai penggunaan teknologi AI – khususnya ChatGPT dalam mempertingkat kecekapan tugas harian.

Kursus ini disampaikan oleh En Salwan Abdul Wahab, konsultan latihan yang berpengalaman dalam mengendalikan latihan bersama dengan Pusat Transformasi Insan. Seramai 36 orang Pegawai Tadbir Universiti telah menghadiri kursus ini di Dewan Persidangan Kampus. Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada kaedah praktikal memanfaatkan Chat GPT dalam pelbagai aspek kerja pentadbiran seperti pengurusan dokumen, penyediaan laporan, projek jabatan, komunikasi profesional, dan automasi tugasan. Penekanan turut diberikan kepada potensi AI dalam menyokong analisis data, perancangan strategik dan penyelarasan kolaborasi dalaman.

Untuk makluman, objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran melalui automasi dokumentasi, laporan dan mesyuarat dan mengoptimumkan pembuatan keputusan dan perancangan strategik menggunakan AI. Hasil daripada sesi selama 6 jam juga peserta dapat mengetahui cara menggunakan arahan (prompt) yang berkesan untuk hasil kerja yang optimum. Justeru ,ia juga dapat membantu peserta dalam mengamalkan etika dan pemikiran kritikal dalam penggunaan AI di tempat kerja.

Kesimpulannya, kursus ini membuka ruang baharu kepada Pegawai Tadbir Universiti untuk meneroka potensi teknologi secara bertanggungjawab dan beretika dalam usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan dan pengurusan di institusi pengajian tinggi. Kursus ini membuktikan bahawa penguasaan teknologi AI bukan sahaja memudahkan tugas pentadbiran, malah menjadi pemangkin kepada budaya kerja pintar dan berimpak tinggi di institusi pengajian tinggi.