
31 JULAI 25 – Dalam era digital yang serba pantas dan penuh ketelusan maya, sejauh mana kita benar-benar mengamalkan etika dan integriti dalam setiap langkah pekerjaan? Menyedari kepentingan nilai murni ini, Pusat Transformasi Insan (PTi), Jabatan Pendaftar telah mengambil inisiatif menganjurkan program "Etika dan Integriti dalam Era Digital: Cabaran dan Penyelesaian", khas untuk warga USM.
Menampilkan penceramah berautoriti, Tuan Sivarasan A/L Baby Kalidawson, Penguasa Kanan dari Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Putrajaya, program ini membuka minda peserta terhadap pelbagai isu etika dan integriti yang semakin mencabar dalam persekitaran kerja digital hari ini. Antara yang disentuh termasuklah penyalahgunaan maklumat digital, ketirisan data, manipulasi komunikasi, dan konflik kepentingan yang sering kali sukar dikesan secara dalam talian.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepekaan warga kerja terhadap risiko integriti serta membimbing peserta tentang pendekatan penyelesaian dan amalan terbaik yang boleh diambil untuk memastikan kelestarian nilai-nilai profesional dalam organisasi.