Pusat Transformasi Insan (PTI), Kampus Induk telah berjaya menganjurkan Program Transformasi Minda Siri 3/2026 Kepada Kumpulan Pelaksana yang melibatkan seramai 74 orang peserta bermula 8 hingga 12 Jun 2026 dan disusuli PTM siri 4/2026 melibatkan 55 orang peserta bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) serta Pelaksana pada 17 hingga 21 Ogos 2026. Manakala, bagi Kampus Kesihatan juga telah berlangsung PTM pada 20 hingga 24 september 2026 melibatkan 96 orang staf.
Sebagai salah satu komponen penting dalam proses pengesahan dalam perkhidmatan, PTM bukan sekadar memenuhi keperluan perkhidmatan, malah menjadi platform untuk membentuk warga universiti yang memahami nilai, etika dan budaya kerja dalam perkhidmatan awam serta konteks Universiti Sains Malaysia.
Sepanjang program yang berlangsung selama lima hari , peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian yang membantu memperkukuh sahsiah, kompetensi dan profesionalisme, di samping meningkatkan kefahaman terhadap tanggungjawab sebagai warga perkhidmatan awam. Pendekatan pembelajaran yang interaktif turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan, membina jaringan dan mengembangkan perspektif baharu dalam melaksanakan tugas. Komitmen, semangat kerjasama dan penglibatan aktif yang ditunjukkan sepanjang lima hari program mencerminkan kesediaan peserta untuk terus berkembang sebagai warga kerja yang berintegriti, kompeten dan berdaya saing. Setiap ilmu dan pengalaman yang diperoleh diharapkan tidak terhenti sepanjang program, sebaliknya diterjemahkan dalam amalan kerja serta interaksi seharian.
Penganjuran PTM diharapkan dapat melahirkan warga USM yang bukan sahaja bersedia menghadapi tuntutan kerjaya, tetapi turut mempunyai aspirasi untuk terus belajar, berkembang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kecemerlangan universiti.
Membentuk warga pelaksana yang berintegriti, berdisiplin, kompeten dan mempunyai jati diri yang kukuh dalam menyokong kecemerlangan penyampaian perkhidmatan USM.