CTP PENGURUSAN KEWANGAN & PEROLEHAN: MENGANGKAT PROFESIONALISME TADBIR URUS KEWANGAN
20 NOVEMBER 2025 - Pusat Transformasi Insan (PTI) telah berjaya melaksanakan Credential Training Programme (CTP): Pemantapan Pengurusan Kewangan & Perolehan Universiti, sebuah program intensif selama 1 hari setengah yang dirangka khusus untuk memperkukuh kompetensi staf Kumpulan Pelaksana yang terlibat dalam pengurusan kewangan dan perolehan universiti.
Program ini menghimpunkan 50 peserta dalam sesi latihan bersemuka yang merangkumi tujuh modul komprehensif, meliputi Governan Kewangan, Belanjawan, tatacara perolehan, aset , bayaran, perakauan dan sistem kewangan.
Lebih daripada sekadar latihan, inisiatif ini menyediakan platform pembangunan profesional yang memberi nilai tambah melalui pensijilan CTP, penganugerahan lencana profesional, dan pengiktirafan mata CPD kepada para peserta. Usaha ini seterusnya menyokong agenda PTI dalam memperkasa tadbir urus kewangan yang cekap, telus dan berintegriti di peringkat universiti.