PROGRAM INTERVENSI HOLISTIK DALAM MENANGANI KESIHATAN MENTAL
28 OKTOBER 25 - Pusat Transformasi Insan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM telah menganjurkan program “Intervensi Holistik dalam Menangani Kesihatan Mental” bagi memperkukuh kefahaman warga universiti mengenai kepentingan kesejahteraan mental. Program ini telah diadakan di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran, Kampus Kesihatan USM dan menampilkan dua penceramah berpengalaman, iaitu Dr. Ahmad Shahril bin Ab. Halim dan Dr. A’isyah binti Che Rahimi, serta menerima penyertaan seramai 30 orang staf universiti. 
Sesi ini memfokuskan peranan pendekatan holistik dalam menangani isu kesihatan mental dengan memberi perhatian menyeluruh kepada aspek fizikal, emosi, mental, sosial dan spiritual individu.

Melalui pembentangan yang teratur dan informatif, para penceramah menerangkan bagaimana strategi seperti kaunseling, aktiviti fizikal, pemakanan sihat, meditasi, sokongan sosial dan penglibatan komuniti memainkan peranan penting dalam menyokong individu menghadapi tekanan dan cabaran hidup.