
3 JUN 2025 – “Bersara dengan tenang atau resah kerana simpanan tiada?” Soalan ini menjadi pembuka mata dalam program bermanfaat anjuran Pusat Transformasi Insan (PTi), Jabatan Pendaftar USM bertajuk "Dari Gaji ke Legasi: Jangan Sampai Bersara Tanpa Simpanan" yang berlangsung secara dalam talian.
Disampaikan oleh Tuan Syed Abdul Aziz Al-Qubra, Jurulatih Utama MindHeart Mastery, sesi ini menyentuh secara langsung isu yang sering dipandang ringan oleh ramai iaitu perancangan kewangan jangka panjang. Dengan gaya penyampaian yang santai namun penuh makna, beliau mengajak peserta berfikir jauh ke hadapan: adakah pendapatan hari ini sekadar cukup untuk esok, atau mampu mencipta legasi masa depan?
Program ini bukan sekadar membuka minda tentang kepentingan simpanan dan pelaburan awal, malah turut memberi panduan praktikal bagaimana untuk mengurus gaji secara bijak, membina tabungan berimpak tinggi, dan merancang persaraan yang selesa dan terjamin.