REVOLUSI MINDA WARGA UNIVERSITI: KUNCI KEJAYAAN ORGANISASI

21 JANUARI 2025 – Program TRANSFORM MINDSET, TRANSFORM ORGANISASI dianjurkan sebagai usaha membentuk pemikiran yang progresif dan terbuka dalam kalangan warga kerja universiti. Pendekatan ini diharap dapat memacu budaya kerja lebih dinamik, inovatif dan seiring dengan kehendak organisasi berprestasi tinggi.
Penceramah utama program ini, Dato' Faridah Hanim, atau lebih mesra dikenali sebagai Ibu Hanim, membawa para peserta ke dalam dunia pemikiran yang berorientasikan perubahan dan inovasi. Dengan pengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan pengurusan, Ibu Hanim berkongsi dengan penuh penghayatan pelbagai strategi yang membentuk minda yang positif untuk membantu individu dan organisasi ke arah perubahan yang berkesan. Sesuai dengan tema program, beliau menekankan bahawa transformasi minda adalah kunci utama dalam mewujudkan perubahan organisasi yang berjaya dan berdaya saing.
Melalui program ini, peserta didedahkan kepada teknik membangunkan minda yang terbuka terhadap perubahan dan strategi untuk mengukuhkan kerjasama pasukan. Peserta bukan sahaja didorong untuk meningkatkan potensi diri, malah diperkasa untuk membawa impak positif kepada organisasi. Program ini berjaya menyemai kesedaran bahawa perubahan bermula dari minda yang bersedia untuk menerima perubahan dan mencipta peluang baharu sebagai asas membina organisasi yang produktif dan berdaya saing.