PROGRAM USMKU SEJAHTERA TINGKATKAN KESEJAHTERAAN DAN PRESTASI PEGAWAI TADBIR
Gopeng, 25 Ogos 2024 – Pusat Tranformasi Insan (PTi) baru-baru ini menganjurkan Program USMku Sejahtera yang berlangsung di Gopeng, Perak, dari 23 hingga 25 Ogos 2024. Program ini bertujuan untuk memperkasa ketrampilan dan meningkatkan prestasi pegawai tadbir universiti (PTU) melalui pendekatan holistik.
Selama tiga hari 101 peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti yang memfokuskan pada kesejahteraan minda, fizikal, dan nilai untuk meningkatkan keseimbangan kerja, kesejahteraan minda dan kepimpinan dalam kalangan pegawai tadbir. Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Sharif, berkata objektif utama program di bawah insiatif USMku Sejahtera adalah untuk menjajarkan minda pegawai tadbir universiti (PTU) dengan Pelan Strategik USM 2024-2026 di samping menyemarakkan semangat kerja berpasukan dan ‘Saya Sayang USM’.
Selain itu program ini juga menerapkan konsep '3R' (Retreat, Relax and Refresh) di dalam setiap kandungan program. Lebih menarik buat julung kalinya PTi melancarkan Podcast Talent Knowledge Sharing (TaLKS) yang bertujuan sebagai medium perkongsian pengalaman dalam aspek kepimpinan dan amalan baik tadbir urus dalam kalangan PTU.
USM merupakan universiti awam pertama yang menyediakan platform perkongsian pentadbiran melalui media sosial Podcast yang akan diteruskan secara bersiri setiap tahun dengan menampilkan tokoh-tokoh pentadbir yang berpengalaman.