27 FEBRUARI 2024 - Bagi mencapai masyarakat yang adil dan bermaruah, isu rasuah dan salah laku masih menjadi cabaran yang ketara di pelbagai lapisan masyarakat.
Dari sektor awam hingga ke sektor swasta, kesan negatif rasuah dan salah laku terhadap pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat menjadi semakin jelas. Februari lalu Pusat Transformasi Insan (PTi) telah menganjurkan Forum Integriti: Bila Rasuah & Salah Laku Akan Berhenti Berlaku secara dalam talian.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kesan negatif rasuah dan salah laku terhadap pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan umum. Forum ini turut memfokuskan nilai pemikiran kritis dalam kalangan staf termasuk kesan moral dan undang-undang yang berkaitan dalam membanteras rasuah.
Forum ini telah menampilkan tokoh integriti daripada agensi awam dan juga daripada badan korporat iaitu Tuan Ahmad Sabri Mohamed Pengarah SPRM Negeri Perak, Encik Roslan Hanapiah, Ketua Unit Integriti & Governans S P Setia Berhad, Encik Mohd Juhari Ab. Kadir, Pegawai Integriti, Universiti Malaysia Terengganu dan di moderatorkan oleh Dr. Mohd. Rodzi Ahmad, Unit Integriti, Universiti Sains Malaysia dan telah disertai seramai 600 peserta.