USM RANGKUL JOHAN & PERSEMBAHAN TERBAIK DALAM KIK PERINGKAT UNIVERSITI AWAM
Gambang, 8 Ogos 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat kejayaan cemerlang dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA). Kumpulan Reborn Rehab dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dinobatkan sebagai juara dan persembahan terbaik dengan projek inovatif mereka iaitu SUPER-T.
Johan membawa pulang wang tunai RM6000 berserta trofi dan sijil. SUPER-T merupakan alat bantuan rawatan pemulihan kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan perkembangan dan ianya merangkumi 5 fungsi dalam satu alat. Ciptaan ini adalah untuk menyelesaikan masalah tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan susulan bagi pemulihan awal kanak-kanak yang sebelum ini mengambil masa yang lama.
Selain kemenangan tersebut, dua lagi kumpulan dari USM turut meraih Anugerah Khas Juri dan Anugerah Penarafan Gangsa. Kumpulan CNergy daripada Hospital Universiti Sains Malaysia berjaya meraih Anugerah Khas Juri manakala Kumpulan Solaris daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Kampus Induk mendapat Augerah Penarafan Gangsa.
Pengiktirafan ini memperlihatkan komitmen USM dalam membudayakan inovasi bagi peningkatan kecekapan proses kerja dalam tadbir urus di kalangan warga universiti.
Pihak PTi juga telah mengambil inisiatif mengadakan 5 sesi coaching & mentoring bermula pada tahun 2023-2024 kepada semua kumpulan KIK yang telah terlibat. Sesi ini dibimbing oleh konsultan yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam KIK Horizon Baru. Kejayaan ini memberikan dorongan kepada semua peserta untuk terus menyumbang idea-idea baharu kepada kecemerlangan penyampaian perkhidmatan USM.
Sekalung tahniah untuk semua pemenang!