Skip to main content

Login Form

SYARAHAN PENTADBIR: EVOLUSI ORGANISASI: MENGUBAH CABARAN MENJADI PELUANG

Evolusi dalam organisasi sentiasa berkembang pesat dari semasa ke semasa, selari dengan perubahan ketara perkembangan dunia, sosial ekonomi, politik, sistem dan sumber-sumber. Perubahan ini memerlukan pendekatan yang holistik dan sistematik bagi memastikan pengurusan organisasi dapat diurus dengan baik dan berkesan. Seiring dengan perkembangan evolusi ini, sudah tentu terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang perlu diambil, tindakan penyelesaian secara komprehensif, berstruktur dan bersinergi.

Syarahan Pentadbir Siri 1 pada kali ini disampaikan oleh Tuan Haji Saberi Mohd Yusoff yang berkongsi dalam aspek evolusi organisasi: Mengubah Cabaran Menjadi Peluang. Program ini telah diadakan pada 25 September 2024 secara dalam talian dengan penglibatan seramai 375 peserta. Beliau berkongsi pengalaman sebagai pentadbir di pelbagai jabatan dimana realitinya kekuatan dan kemampuan sesebuah organisasi menyediakan perkhidmatan adalah bergantung kepada kemampuan untuk mengurus sumber, fizikal dan persekitaran.

Menurut beliau, setiap individu di dalam organisasi perlu faham fokus utama atau skop sesebuah organisasi dan perlu tahu perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan. Beliau menerangkan bagaimana halangan atau cabaran yang wujud dalam organisasi boleh ditransformasikan sebagai satu peluang. Cabaran-cabaran yang selalu muncul dalam mengurus sesuatu organisasi adalah kos operasi, krisis, persaingan dan pelanggan. Selain itu, ekpektasi pelanggan dalam mengharapkan perkhidmatan yang cekap menjadi satu cabaran yang perlu dititikberatkan. Justeru, cabaran perlu diurus dengan bijak dan kreatif bagi mencapai tahap perkhidmatan yang terbaik.

Beliau juga berkongsi evolusi pengurusan organisasi Hospital USM ketika krisis terutama ketika pandemik Covid-19. Pelbagai perubahan telah dilaksanakan antaranya dasar dan SOP perkhidmatan yang ditawarkan bagi mengekalkan kualiti perkhidmatan yang cemerlang.

Justeru, bagi memastikan tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan baik, setiap staf perlukan memahami peranan masing-masing dan berusaha menambahbaik perkhidmatan melalui kreativiti dan inovasi yang relevan.