
8 MEI 25 - Sebagai sebahagian daripada komitmen Universiti Sains Malaysia (USM) ke arah kelestarian global, Pusat Transformasi Insan (PTi), Jabatan Pendaftar telah menganjurkan program “Sustainability dan SDG: Strategy to Implementation” kepada staf Kumpulan Pengurusan & Profesional serta Pegawai Kelestarian dari Kampus Induk, yang merupakan pemegang taruh penting dalam menjayakan agenda SDG di peringkat universiti.
Program ini menampilkan Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, yang merupakan Pengarah Pusat Perancangan Institusi & Strategik (IPSC) sebagai penceramah utama. Beliau berkongsi perspektif strategik berkaitan pendekatan holistik dalam merancang dan melaksanakan inisiatif kelestarian di kampus.
Program ini bertujuan untuk memperkasa peranan staf dalam menterjemahkan dasar kelestarian kepada tindakan, dengan memberi penekanan kepada impak jangka panjang terhadap persekitaran kampus, kesejahteraan warga universiti dan reputasi USM di peringkat global. Antara perbincangan utama termasuklah pendekatan penyepaduan SDG dalam perancangan operasi universiti, pemantauan pelaksanaan, dan budaya kerja berasaskan tanggungjawab bersama. Pendekatan ini secara langsung menyokong misi USM sebagai peneraju universiti lestari dan beretika.