Skip to main content

Login Form

INTEGRITI TINGKAT PROFESIONALISME WARGA USM BERSAMA DMFK

23 Julai 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program berimpak tinggi bertemakan "Integriti Membentuk Profesionalisme Warga Universiti" di Dewan Budaya USM. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan membina asas yang kukuh bagi nilai integriti dalam kalangan warga kampus.

Program ini menampilkan Prof. (Adjung) Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah (DMFK), motivator terkemuka Malaysia yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan dan motivasi. Kehadiran DMFK membawa inspirasi dan semangat baru kepada peserta melalui perkongsian pengalaman dan kaedah praktikal untuk mempraktikkan integriti dalam kehidupan seharian.

DMFK menekankan bahawa integriti bukan sekadar tentang kejujuran, tetapi juga melibatkan disiplin, ketelusan, dan kepatuhan kepada undang-undang. Beliau juga mengaitkan integriti adalah bertepatan dengan rukun nilai USM yang perlu dihayati dan diaplikasi oleh warga kampus. Seramai 500 peserta telah menghadiri program bersama DMFK atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Tok Abah.

Dengan pendedahan dan pengetahuan yang diperoleh, diharapkan warga USM dapat terus mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan mereka, menjadikan USM sebuah institusi pendidikan yang unggul dan dihormati bagi membina warga USM yang berintegriti tinggi.